GEORGETOWN: Tindakan licik seorang pemuda memecah masuk sebuah kediaman di apartment Taman Pekaka, Glugor secara bersendirian sejak Februari lalu akhir tersungkur apabila dia diberkas polis semalam.
Suspek Melayu berusia 21 tahun itu ditahan sepasukan polis dari bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) di bawah blok lorong Pekaka Satu kira-kira pukul 1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penahanan suspek dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang juga penghuni kediaman berkenaan di Balai Polis Sungai Nibong pada 15 Februari lalu.
Menurutnya, pengadu wanita berusia 32 tahun menyedari kejadian tersebut selepas mendapati pintu bilik dan laci rumahnya terbuka manakala barangan peribadinya turut hilang.
“Hasil soal siasat polis, suspek yang bekerja sebagai tukang cuci sekolah itu mengaku terlibat dalam kes tersebut secara seorang diri.
“Dia yang masih bujang turut mengaku masuk ke dalam rumah berkenaan dengan memanjat melalui cermin tingkap bilik yang tidak ditutup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Soffian memberitahu, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau itu kini ditahan reman selama empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan