Jumaat, 14 Mei 2021

Telefon pintar ‘rahmat’ atau ‘bencana’ ketika PKP Raya?

Siva Selan 

Walaupun peranti pintar tidak lagi boleh dielak dalam era digital ketika ini, namun penggunaan melampau boleh menjejaskan perkembangan fizikal, mental, sosial dan psikologi seseorang.

Ketika semakin ramai menghabiskan berjam-jam lamanya dengan alatan elektronik dan peranti pintar, tanpa sedar mereka menjadi semakin jauh dan mula terpisah daripada menghabiskan waktu bersama keluarga malahan ketika meraikan lebaran yang sepatutnya merapatkan lagi hubungan sesama mereka.

Hari Raya Aidilfitiri tahun ini sekali lagi diraikan dalam suasana pandemik, jauh dari keluarga ekoran larangan perjalanan rentas negeri dan daerah yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan kekeluargaan.

Sekali lagi, telefon pintar menjadi alat untuk berkomunikasi dengan keluarga tercinta.

Seorang pensyarah psikologi di Universiti Segi Mariani Md Nor berkata penggunaan media sosial untuk berkomunikasi dengan keluarga dan rakan-rakan adalah satu cara terbaik yang boleh dilakukan ketika ini kerana tiada pilihan melainkan terpaksa duduk berdiam di rumah.

Bagaimanapun, dia berkata penggunaan peranti pintar yang tidak dikawal boleh menjadikan seseorang ketagihan sehingga boleh menghilangkan semangat perayaan Aidilfitri kerana lebih suka menghadap telefon untuk mengemaskini status di media sosial daripada menyambut perayaan dengan tradisi kekeluargaan.

“Orang ramai biasanya teruja pada awal raya sahaja, kemudian mereka sibuk dengan telefon, cuba menghubungi kawan-kawan dalam talian dengan memencilkan diri dari keluarga sendiri,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mariani berkata hal “pandemik telefon pintar” ini bukan sahaja masalah orang muda, bahkan ia juga turut merebak kepada orang yang lebih tua dalam masyarakat.

“Penggunaan telefon adalah aktiviti rutin yang kemudian menjadi tabiat. Penggunaan berpanjangan boleh menyebabkan ketagihan,” katanya.

Fauziah Mohd Sa’ad dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut bersetuju peningkatan ketagihan penggunaan telefon pintar dalam kalangan orang ramai sudah semakin meningkat ketika terpaksa duduk di rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Orang ramai duduk di rumah tak ada banyak benda nak dibuat. Jadi, mereka habiskan waktu dengan telefon pintar termasuklah ketika sambutan raya.

“Namun penggunaan telefon boleh menyebabkan ketagihan. Ia menghalang kita daripada berinteraksi dengan orang lain secara bersemuka,” katanya kepada MalaysiaNow dan menambah mengehadkan penggunaan telefon adalah kunci utama bagi menangani masalah kompleks tersebut.

“Saya fikir penggunaan telefon ini okey saja kalau ia digunakan bagi tujuan yang betul dan boleh gembirakan kita. Namun perlu ada hadnya.

“Jangan guna telefon sehingga ia menjejaskan anda secara fizikal, psikologi dan sosial. Utamakan kesihatan dan keluarga dahulu,” katanya.

Mariani dan Fauziah turut berkata ketagihan penggunaan telefon dalam kalangan anak-anak yang membesar dengan peranti di samping kurangnya interaksi dengan orang lain.

Fauziah bahkan berkata ramai ibu bapa yang “merasuah” anak mereka dengan memberikan telefon pintar supaya anak-anak tidak “mengganggu”.

Namun, katanya, dengan melakukan perkara demikian, anak-anak akhirnya akan merasakan alat peranti adalah lebih menyeronokkan daripada berinteraksi dengan orang lain sehingga menyebabkan kurang kemahiran bersosial.

“Anak-anak ini nantinya tidak mampu membawa diri ketika berziarah ke rumah orang dan mereka jadi sukar berinteraksi dengan orang yang mereka temui.”

Selain itu, katanya, ada juga risiko anak-anak terdedah dengan kandungan tidak senonoh dalam internet seperti video porno dan ganas.

Justeru, Fauziah mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa memantau telefon anak-anak.

Sementara Mariani pula menasihatkan ibu bapa untuk mengawal penggunaan peranti elektronik dalam kalangan anak-anak dan diri mereka sendiri demi menunjukkan teladan untuk diikuti.

“Ibu bapa muda perlu pantau perkembangan fizikal, emosi dan sosial anak-anak. Kawal penggunaan peranti elektronik anak-anak dan diri kita sendiri sebagai ibu bapa.

“Kita tak mahu anak-anak kita mengikut teladan yang tabiatnya sama macam robot dan kemudian menjejaskan mereka pada masa akan datang,” katanya dan menambah ibu bapa perlu merancang masa anak-anak dengan memastikan jadual aktiviti mereka seimbang.

“Hadkan masa anak-anak dengan telefon pintar dengan cara kita berkomunikasi dengan mereka. Rancang masa mereka di rumah, dan pastikan mereka membesar dalam suasana positif.”

Tiada ulasan: