Khamis, 6 Mei 2021

Tahap kebersihan tak memuaskan, dapur hotel sedia bufet Ramadan di Melaka diarah tutup, dikompaun

Exco kesihatan dan antidadah Melaka, Rahmad Mariman, menasihatkan 
orang ramai supaya bijak memilih premis yang bersih ketika membeli juadah 
berbuka puasa. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah dapur hotel yang menawarkan bufet Ramadan di Melaka diarahkan tutup ekoran tahap kebersihannya didapati tidak memuaskan.

Selain itu, hotel itu juga dikenakan tujuh kompaun berjumlah RM4,300, ketika pemeriksaan ke atas 17 hotel di negeri itu.

Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1985 dan Sekyen 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM), menurut exco kesihatan dan antidadah negeri, Rahmad Mariman.

Sementara itu, Rahmad berkata, sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka telah memeriksa 995 premis makanan di tapak bazar Ramadan dan kesemuanya mencapai tahap 75% ke atas dari segi kebersihan.

“Sehingga semalam, seramai 2,350 pengendali makanan di seluruh negeri ini juga telah diperiksa dan sebanyak 580 notis amaran dikeluarkan kepada pengendali makanan,” kata beliau seperti dilaporkan Bernama.

“Sebelas pemeriksaan ke atas kilang ais telah dijalankan dan tiga kompaun bernilai RM6,100 dikenakan kepada premis terlibat di bawah PPKM 2009.”

Beliau berkata demikian selepas program tinjauan mesra bersama JKN Melaka di tapak Pasar Ramadan Jasin Bestari hari ini. Turut hadir adalah pengarah kesihatan negeri, Ismail Ali.

Rahmad menasihatkan orang ramai supaya bijak memilih premis yang bersih ketika membeli juadah berbuka puasa.

Tiada ulasan: