Rabu, 12 Mei 2021

Skandal 1MDB: Zafrul sahkan k'jaan runding dengan KPMG

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini mengesahkan bahawa kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan KPMG berkaitan skandal 1MDB.

Ini selepas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua mempersoal kenapa Putrajaya tidak mengheret KPMG sedangkan Deloitte, sebuah lagi juruaudit 1MDB, telah membayar RM336 juta sebagai penyelesaian atas peranannya dalam skandal itu.

Tengku Zafrul, dalam kenyataan hari ini berkata bahawa kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan KPMG untuk satu penyelesaian.

"Rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG," katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika mengumumkan bahawa kerajaan telah memperoleh semula RM1.9 bilion lagi dana 1MDB yang dicuri.

Pemulangan dana itu dicapai dengan bantuan Jabatan Keadilan AS (DOJ).

Setakat ini, sejumlah RM16.05 bilion dana 1MDB telah diperoleh.

"Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dan RM336 juta dari Deloitte PLT," katanya.

Ambank telah bersetuju untuk pemulangan dana setelah berbilion-bilion ringgit masuk ke dalam akaun perdana menteri ketika itu, Najib Abdul Razak, yang menurut penyiasat dapat ditelusuri ke 1MDB.

Deloitte bertindak sebagai juruaudit 1MDB dari 2013 hingga 2016 sementara KPMG adalah juruaudit 1MDB dari 2010 hingga 2012.

1MDB sebelum ini didakwa telah menyembunyikan fakta bahawa pinjaman besar yang diambilnya telah disalahgunakan.

Zafrul berkata bahawa dana yang telah dipulang akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International.

Namun, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.8 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC).

Tiada ulasan: