Ahad, 16 Mei 2021

Situasi PKRC Maeps makin mencabar, katil ditambah kepada 1,000

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Situasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) semakin mencabar dengan kemasukan lebih ramai pesakit Covid-19 bagi kategori 3.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan, pada awalnya PKRC MAEPS hanya mempunyai sebanyak 60 katil untuk pesakit kategori 3 pada awal Januari lalu tetapi kini PKRC Bersepadu MAEPS menempatkan seramai 757 pesakit kategori berkenaan.

Sehubungan itu JKNS bercadang menambah kapasiti kepada 1,000 katil bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang selaras dengan peningkatan angka pesakit Covid-19 terkini.

"Oleh yg demikian, pesakit dengan kategori 3 ditempatkan di dewan-dewan yang berdekatan dengan ICU sementara supaya pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan manakala pesakit kategori 1 & 2 yang stabil ditempatkan di dewan DG.

"Bagaimanapun, pihak PKRC cuba sebaik mungkin memisahkan kategori pesakit warganegara dan bukan warganegara di dewan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pesakit kategori 1 dan 2 Covid-19 merupakan pesakit yang tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan, manakala kategori 3 adalah pesakit dengan gejala sederhana.

PKRC Maeps pada awalnya bertujuan menempatkan pesakit kategori 1 dan 2 yang berisiko rendah sahaja, namun diperluas kepada pesakit kategori 3 akibat peningkatan jumlah kes harian Covid-19.

Terdahulu, beberapa pengguna Twitter mengadu mengenai proses pendaftaran di Pusat Penilaian Covid (CAC) di Stadium Melawati, Shah Alam dan juga keadaan di PKRC Maeps.

Seorang wanita menceritakan pengalaman bapanya yang diberitahu oleh pegawai Kementerian Kesihatan  supaya tidak perlu menjalani ujian RT-PCR dan perlu ke Stadium CAC Melawati keesokan harinya.

Namun, ketika bapanya tiba di CAC, dia diberitahu oleh doktor bahawa mereka memerlukan keputusan ujian RT-PCR sebelum dimaklumkan untuk pulang ke rumah.

Seorang lagi pengguna Twitter menceritakan pengalamannya menunggu sembilan jam di CAC Stadium Melawati sebelum terpaksa menunggu dua jam untuk mendaftar di PKRC Maeps.

Lelaki berkenaan juga mengatakan rasa terkejut apabila dia dihantar ke kawasan tempat letak kereta di Maeps yang telah diubah suai untuk menempatkan katil pesakit.

Sementara itu, PKRC MAEPS mengucapkan terima kasih dan menyambut baik aduan berhubung isu proses kemasukan berkenaan dan akan melakukan penambahbaikan proses tersebut daripada masa ke semasa.

Tiada ulasan: