Khamis, 6 Mei 2021

Sekolah di KL, Putrajaya ditutup mulai esok

 Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

Dalam tempoh penutupan tersebut, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut kesesuaian guru serta murid.

PUTRAJAYA – Selepas arahan semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh Selangor ditutup, KPM mengambil keputusan serupa dengan menutup semua sekolah di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi tempoh sama iaitu pada esok dan lusa ( Khamis , Jumaat ).

KPM dalam satu kenyataan berkata, keputusan untuk menutup sekolah di kedua-dua wilayah itu adalah bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti dan pergerakan antara negeri memandangkan kedudukannya yang bersempadanan dengan daerah-daerah dalam Selangor.

“Dalam tempoh penutupan tersebut, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut kesesuaian guru dan murid,” katanya hari ini.

KPM berkata, bagi pergerakan pulang murid asrama sempena cuti hari raya Aidilfitri, pihak sekolah perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang yang telah ditetapkan untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan murid dan ibu bapa atau penjaga.

Terdahulu, KPM melalui surat Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bertarikh hari ini telah mengarahkan semua sekolah bawah KPM di negeri Selangor ditutup pada esok dan lusa.

Menurut KPM, arahan itu dikeluarkan setelah mempertimbangkan syor Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor (JKKNS) supaya semua sekolah di negeri Selangor ditutup bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri tersebut.

“Keputusan ini juga dibuat setelah mengambil kira tempoh persekolahan yang hanya berbaki dua hari sebelum sekolah ditutup sempena cuti Hari Raya Aidilfitri,” katanya -K! ONLINE

Tiada ulasan: