Selasa, 18 Mei 2021

Sambutan hari raya selebriti disiasat polis

 Oleh EDDY AQMAL MOHAMED HAMIDI

Gambar tular keluarga seorang selebirti yang didakwa melanggar SOP PKP semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

AMPANG JAYA – Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh keluarga seorang selebriti susulan penularan gambar sambutan Hari Raya Aidilitri mereka di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kira-kira pukul 4 petang tadi, pihaknya telah mengesan penularan gambar tersebut di media sosial memaparkan sambutan hari raya keluarga selebriti berkenaan yang disyaki tidak tinggal sebumbung.

“Kejadian disyaki berlangsung di kediaman selebriti berkenaan di Hulu Kelang di sini dan menerusi gambar itu kita dapati terdapat lebih kurang 13 individu yang gagal mematuhi SOP ditetapkan iaitu program ziarah hari raya yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.

“Pihak polis telah menerima satu laporan berhubung isu tersebut dan siasatan akan dijalankan di bawah Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, kes berkenaan masih dalam siasatan dan pihak Polis Ampang Jaya akan memanggil semua terlibat untuk memberikan keterangan lanjut dalam masa terdekat.

“Orang awam diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih dalam peringkat siasatan dan diseru agar mematuhi arahan juga SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa

“Untuk makluman, sebanyak 599 kompaun telah dikeluarkan di Daerah Ampang Jaya setakat 16 Mei lepas dan sejumlah 16 kertas siasatan telah dibuka di atas pelbagai kesalahan langgar perintah dan syarat SOP,” tegas beliau.-K! ONLINE

Tiada ulasan: