ALOR SETAR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah merayu kerajaan supaya menerima permohonan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di klinik kesihatan kerajaan.
Yang Dipertuanya, Amirul Syahir Musa berkata, pihaknya menerima laporan terdapat klinik kesihatan kerajaan tidak menerima permohonan penuntut IPTA untuk melakukan ujian saringan tersebut untuk tujuan pulang ke universiti masing-masing.
Ini kerana, menurutnya, setiap individu yang ingin keluar dari kawasan PKPD perlu menjalani ujian saringan itu terlebih dahulu.
“Bagaimanapun, klinik kesihatan kerajaan didapati mendahulukan golongan yang bekerja di sektor perkhidmatan perlu manakala penuntut IPTA pula disaran ke klinik swasta.
“Klinik swasta pula mengenakan bayaran ujian saringan itu antara RM140 hingga RM190 setiap seorang manakala di klinik kesihatan kerajaan percuma atau dikenakan sedikit bayaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebanyak sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di Jitra dekat sini dilaksanakan PKPD bermula semalam hingga 31 Mei manakala 28 mukim dalam daerah Kota Setar di sini pula hari ini hingga 1 Jun depan.
Beliau memberitahu, kebanyakan penuntut IPTA dijadualkan pulang semula ke universiti masing-masing bermula pada hari ini selepas cuti menyambut Hari Raya Aidilfitri, minggu lalu.
Katanya, pada masa ini, penuntut terbabit tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa menjalani ujian saringan itu di klinik swasta bagi membolehkan mereka pulang ke IPTA mengikut jadual.
“Saya berharap agar kerajaan
mempertimbangkan hal ini demi kepentingan pelajar IPTA di kawasan PKPD
yang hendak pulang ke universiti,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan