Jumaat, 21 Mei 2021

Ramai ambil lewa tidak rekod butiran diri masuk premis

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Jumlah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam menyaksikan seramai 495 individu diberkas berbanding 513 individu dicekup, kelmarin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 468 dikompaun manakala 27 lagi direman dengan kesalahan tertinggi ialah gagal merekod butiran diri di premis iaitu 185 kes diikuti tidak memakai pelitup muka (126), tidak patuh arahan PKP (84), tiada jarak fizikal (47), aktiviti pusat hiburan (15), rentas kawasan tanpa kebenaran (lapan) dan lain-lain (72).

“Seramai 29 pendatang asing tanpa izin juga ditahan dan lapan kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng dengan sebanyak 146 bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui 11 aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 576 individu tiba di tanah air semalam dengan sejumlah 7,471 individu masih lagi menjalani proses kuarantin wajib selain seramai 2,063 individu dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala 197,944 individu lagi sudah dibenarkan pulang selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 524 peruncit, 144 pemborong dan 32 pengilang termasuk melaksanakan sejumlah 1,396 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan semua premis terlibat didapati mematuhi peraturan.

Beliau juga mengesahkan, empat pekerja asing didapati positif Covid-19 setelah 160 pekerja warga asing disaring. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: