Ahad, 16 Mei 2021

Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP

Malaysiakini

Polis sedang menyiasat dakwaan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menghadiri majlis penyampaian sumbangan dan jamuan Hari Raya Aidilfitri di sebuah universiti awam, Khamis lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Supt Mohd Rosdi Daud berkata siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan polis berikutan artikel yang dikeluarkan sebuah portal berita semalam, berhubung kejadian itu.

Beliau berkata artikel berkenaan mendakwa Husaini melanggar SOP pada majlis yang diadakan di Kolej Kediaman 13 universiti itu.

“Program itu melibatkan kehadiran mahasiswa dan pihak pengurusan universiti berkenaan serta gambar mereka dimuat naik di media sosial,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata siasatan dilakukan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP PKP yang boleh dikompaun sebanyak RM2,000 ke atas pengunjung dan RM10,000 ke atas penganjur, jika sabit kesalahan.

Kertas siasatan berhubung kejadian itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada kadar segera, katanya.-Bernama

Tiada ulasan: