Selasa, 11 Mei 2021

PKP seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun

 Athirah Huda Zalhe

Aktiviti ziarah ke rumah, kubur pada Aidilfitri dilarang

BANGI – Berikutan peningkatan trend kes-kes harian COVID-19 di Malaysia, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 hari ini.

Ekoran keputusan itu, pergerakan rentas daerah dan negeri adalah kekal dilarang kecuali bagi tujuan kecemasan, kesihatan, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Muhyiddin berkata, semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, sambutan hari jadi dan majlis rasmi kerajaan serta swasta juga tidak dibenarkan.

“Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.

“Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam,” katanya.

Semua aktiviti sukan dan rekreasi juga dilarang kecuali yang membabitkan aktiviti individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

Selain itu, semua institusi pendidikan juga diarahkan tutup kecuali kepada pelajar yang menduduki peperiksaan antarabangsa, katanya.

Bagaimanapun, pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.

“Bilangan orang di dalam kereta persendirian, teksi dan e-hailing dihadkan kepada tiga orang sahaja termasuk pemandu.

“Bilangan orang yang dibenarkan dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang ditetapkan,” kata Muhyiddin.

Sementara bagi operasi restoran dan kedai makan, beliau berkata, ‘dine-in’ adalah dilarang, namun membenarkan untuk penjualan secara pandu lalu dan ‘take-away’.

Katanya, majikan juga diwajibkan melaksana dasar Bekerja Dari Rumah dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa.

Bagi ketetapan sempena sambutan Aidilfitri, kerajaan tidak membenarkan ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur.

“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

“Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat lima waktu dan solat Jumaat,” katanya.

Menurut Muhyiddin, semua sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

“SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan yang terkandung dalam PKP ini akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya

Tiada ulasan: