Jumaat, 21 Mei 2021

PBB sambut baik gencatan senjata

MALAYSIA KINI

Malaysiakini

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres menyambut baik gencatan senjata antara Gaza dan Israel pada Khamis dan mendesak semua pihak agar mematuhinya, lapor Agensi Anadolu.

Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 2 pagi Jumaat (2300GMT Khamis), dipersetujui selepas 11 hari Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung. Mesir bertindak sebagai perantara.

Dalam satu kenyataan media, Guterres menyeru masyarakat antarabangsa bekerjasama dengan PBB bagi "membangunkan pakej sokongan bersepadu untuk pemulihan dan pembangunan segera dan berterusan serta menyokong rakyat Palestin dan memperkukuh institusi mereka.”

"Pemimpin Israel dan Palestin mempunyai tanggungjawab untuk memulihkan keadaan secara aman dan memulakan dialog yang serius bagi mengatasi punca konflik," kata Guterres (gambar, bawah).

“PBB akan bekerjasama dengan Israel dan Palestin, rakan kongsi antarabangsa dan serantau, termasuk melalui Kuartet Timur Tengah, untuk kembali ke meja rundingan bagi mengakhiri pendudukan dan kemungkinan untuk mewujudkan penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan sebelum 1967, resolusi PBB, undang-undang antarabangsa dan perjanjian bersama, " kata Guterres.

Kuartet Timur Tengah terdiri PBB, AS, Kesatuan Eropah dan Rusia.

Sementara itu, Britain pada Khamis berkata pihaknya menyambut baik gencatan senjata berkenaan.

"Mengalu-alukan gencatan senjata di Israel dan Gaza," tulis Setiausaha Luar Dominic Raab di Twitter.

“Semua pihak harus mematuhi dan memastikan gencatan senjata itu berpanjangan dan dapat mengakhiri keganasan serta mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban."

"UK sentiasa menyokong usaha untuk berdamai," tambahnya.- Bernama

Tiada ulasan: