PETALING JAYA: Seorang wanita yang hamil anak pertama, parah dan kini terlantar di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas dipercayai dibelasah suami di rumahnya di Larkin, Johor, pada 4 Mei lalu.
Mangsa berusia 43 tahun, yang juga kakitangan awam kini bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan parah dengan tengkorak kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipercayai dipukul.
Adik mangsa dikenali sebagai Fazariah mendakwa, kakaknya yang berkahwin pada 7 September tahun lalu dimasukkan ke ICU HSA pada 4 Mei lalu selepas dihantar suaminya yang berusia 38 tahun.
“Saya terima panggilan daripada abang ipar sehari kemudian (5 Mei). Dia beritahu kakak dimasukkan ke hospital kerana cedera. Dia beritahu ada tolak sikit sebelum kakak terjatuh dan minta maaf,” katanya menurut laporan Kosmo!.
Fazariah yang bergegas ke HSA dari Sungai Udang, Melaka, bagaimanapun terkejut apabila mendapati kepala dan badan kakaknya dipenuhi wayar dan sedang bertarung nyawa di ICU dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurut wanita itu, tengkorak kepala kakaknya terpaksa dibuang bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk disebabkan berlaku pendarahan pada otak.
“Doktor memaklumkan harapan kakak untuk pulih seperti sedia kala adalah tipis,” katanya sambil memberitahu mangsa baru disahkan mengandung empat minggu.
Adik mangsa mendakwa, dia tidak mengetahui punca pasangan tersebut bergaduh kerana kakaknya jarang mengadu mengenai kisah rumahtangganya.
Berdasarkan maklumat rakan sekerja, mangsa juga kerap dilihat mengalami lebam di muka dan tangan.
“Kami tak sangka abang ipar tergamak bersikap ganas. Saya tidak tahu pekerjaannya, kami sekeluarga ada bertanya tetapi dia mengelak,” dakwanya.
Susulan kejadian itu, Fazariah membuat laporan di Balai Polis Larkin, 6 Mei lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Mohd Padzli Mohd Zain, mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut kes berkenaan sedang dijalankan termasuk usaha mengesan suspek.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan