NEW YORK: Pemimpin Palestin dan Israel saling merayu untuk mendapatkan sokongan pada sesi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Walaupun tidak banyak tindakan boleh dilihat pada sesi itu di tengah-tengah keganasan yang kian meningkat di Semenanjung Gaza, situasi semakin tegang apabila China mendakwa Amerika Syarikat (AS) cuba melakukan dasar halangan.
Selepas penangguhan dilakukan AS, iaitu sekutu rapat Israel, Majlis Keselamatan mengadakan mesyuarat awam pertamanya pada tempoh hampir seminggu keganasan meletus di Gaza, yang sudah meragut 200 nyawa.
Pada pembukaan sesi maya itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyifatkan tragedi keganasan itu 'sangat mengerikan', lantas mendesak pejuang Hamas untuk berhenti melancarkan roket ke Israel, termasuk menggesa Israel supaya menghentikan serangan udara besar-besaran di Semenanjung Gaza.
"Pertempuran perlu dihentikan. Ia perlu dihentikan dengan segera.
"Ia berpotensi untuk menyebabkan krisis keamanan dan kemanusiaan yang tidak dapat diuruskan dan berlanjutan bukan hanya di wilayah Palestin yang dijajah dan Israel, tetapi di wilayah itu secara keseluruhan," kata Guterres.
Dengan merujuk jumlah mangsa ramai dalam kalangan penduduk awam, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, menuduh Israel dalang 'kejahatan perang' dan 'apartheid', iaitu gelaran yang dinafikan Israel.
"Bertindak sekarang untuk akhiri pencerobohan dan serangan terhadap orang kami, rumah kami, tanah kami. Bertindaklah sekarang supaya kebebasan dapat berlaku dan bukannya apartheid," katanya.
Al-Maliki berkata, Israel perlu bertanggungjawab atas tindakannya sebagai 'kuasa penjajah'.
"Israel selalu berkata, letakkan dirimu dalam kasut kita. Tetapi Israel tidak memakai kasut. Mereka memakai kasut tentera," katanya.
Pada sesi sama, China selaku Presiden Majlis Keselamatan mendakwa AS menyekat usahanya untuk mengambil 'tindakan kuat' dan menjemput Israel dan Palestin untuk berunding.
"Malangnya, hanya kerana halangan satu negara, Majlis Keselamatan belum dapat bercakap dengan satu suara. Kami meminta AS untuk memikul tanggungjawab sepenuhnya," kata Menteri Luar China, Wang Yi. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan