Selasa, 4 Mei 2021

Pahang cadang PKP di Kuantan, jika kes terus naik

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pelaksanaan PKPD di Taman Tanah Putih Baru di Kuantan, bermula tengah malam ini dipercayai berpunca daripada penularan akibat aktiviti berbuka puasa dan moreh tanpa pematuhan SOP

Kerajaan negeri Pahang bercadang mengenakan peraturan lebih ketat termasuk memohon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuantan jika peningkatan kes positif Covid-19 di daerah ini tidak dapat dikawal dengan baik.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata trend peningkatan di daerah itu tidak menunjukkan sebarang penurunan dan setakat tengah hari ini, jumlah kumulatif kes positif ialah 1,470 kes dengan jumlah kes aktif sebanyak 143 kes daripada sembilan kluster.

Jumlah sampel yang masih menunggu keputusan ialah 647 sampel selain 1,942 orang lagi dikenakan perintah kuarantin di rumah.

"Saya berharap penduduk Pahang terutamanya di Kuantan dapat bersama-sama mengawal penularan jangkitan pandemik ini dengan mengehadkan aktiviti atau majlis rasmi melibatkan orang ramai serta mengehadkan pergerakan rentas keluar masuk daerah.

"Orang ramai diingatkan sentiasa menjaga penjarakan fizikal di premis makanan manakala bilangan pengunjung bazar Ramadan dan Aidilfitri akan dikurangkan daripada kapasiti sedia ada bagi memastikan aspek penjarakan ini dijaga," katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.

Wan Rosdy yang mendengar taklimat situasi semasa pandemik Covid-19 di Pahang oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri hari ini, juga mengingatkan pengurusan masjid untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Ini ekoran penularan pandemik itu dalam komuniti yang dipercayai berpunca daripada aktiviti berbuka puasa dan moreh tanpa pematuhan SOP yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Tanah Putih Baru di Kuantan, bermula tengah malam ini (5 Mei) hingga 18 Mei.

Gesaan supaya penduduk Pahang terus berwaspada dan mengambil langkah kawalan juga dibuat memandangkan empat daerah di negeri ini kini dikategorikan zon merah iaitu Kuantan, Temerloh, Bentong dan Raub.- Bernama

Tiada ulasan: