Sabtu, 15 Mei 2021

Orang ramai degil masih kunjungi Pantai Klebang

Oleh AMRAN MULUP
KEADAAN di Pantai Klebang, Melaka yang dipenuhi orang ramai meskipun negeri ini sedang dalam fasa PKP. - UTUSAN/AMRAN MULUP

MELAKA: Degil! Itulah gambaran sikap segelintir orang ramai yang tidak mengendahkan larangan beriadah atau bersantai di Pantai Klebang dekat sini sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kereta terus berpusu-pusu memasuki kawasan pantai pada Hari Raya Aidilfitri kedua sejak pukul 4 petang tadi.

Mereka seolah-olah tidak ambil peduli peningkatan kes positif Covid-19 terutama di Melaka yang terus mencatatkan kenaikan daripada 67 kes semalam kepada 107 kes hari ini.

Tidak kurang juga ibu bapa yang dilihat berani membawa anak-anak kecil bermain di pantai dan taman permainan kanak-kanak.

Ada pula yang membentang tikar dan berkelah di kawasan tersebut.

Semalam, pihak polis dari Balai Batang Tiga meminta orang ramai yang berada di pantai untuk segera meninggalkan kawasan tersebut.

Sewaktu PKP Januari lalu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah menutup dua laluan masuk ke kawasan pantai berkenaan.

Malangnya tinjauan hari ini mendapati, tidak ada langsung pagar besi dipasang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), lantas menyebabkan orang ramai terus memasuki kawasan rekreasi itu.

Sementara itu, anggota polis bertugas memberitahu, pihaknya telah melakukan rondaan dari semasa ke semasa.

“Kita minta mereka balik tetapi selepas kami meronda di tempat lain, orang ramai kembali memasuki semula kawasan pantai,” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: