Oleh MOHD SHARKAWI LONDING
Gambar yang tular di laman sosial yang mendakwa Nur Sajat kini berada di Johor Bahru, Johor.
JOHOR BAHRU – Usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, memuat naik sekeping gambar menerusi laman sosial Instagram (IG) miliknya didakwa berada di premis perniagaan di Pusat Komersial Bandar Baru Uda, di sini.
Gambar Muhammad Sajjad atau lebih dikenali Nur Sajat memuat naik gambar dia sedang duduk di atas sebuah sofa dengan keterangan gambar serta meletakkan lokasi gambar berkenaan.
“Sis pening la!!, sampai bila nak macam ini, kali ini sis ada masa sakit kepala!! Nak ubat uols!! Plzzz,”tulisnya.
Itu antara keterangan atau entri yang ditulis Nur Sajad menerusi gambar tular di laman sosial Facebook sejak semalam.
Tinjauan Kosmo! dalam IG dan Facebook mendapati, seorang netizen mendakwa Nur Sajat dipercayai memang berada di Johor Bahru.
Jelasnya, usahawan itu juga didakwa menetap bersama beberapa pekerjanya di sebuah kondominium mewah di daerah ini.
Menerusi pemantauan rakaman video yang dimuat naik menerusi Tik Tok Nur Sajat juga mendapati reka bentuk menyerupai susun atur sebuah kondominium mewah dalam bandar raya ini.
Kosmo! pada 26 April lalu melaporkan Nur Sajat berkemungkinan berada di luar negara selepas diburu setelah waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Syariah pada 23 Februari lalu.
Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang ketika memegang jawatan Timbalan KPN berkata, setakat ini kemungkinan itu kuat menyatakan sedemikian.
Pada 23 Februari lepas, usahawan kosmetik itu dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana tidak hadir sebutan semula kes berhubung menghina Islam.-K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan