Ahad, 2 Mei 2021

NGO lapor polis pastor cuba sebar dakyah Kristian di Kluang

Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor serta Pertubuhan Ikatan Usahawan 
Kecil, Sederhana Kecil dan Sederhana Malaysia membuat laporan di Ibu 
Pejabat Polis Daerah Kluang hari ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Dua NGO membuat laporan polis berhubung kegiatan seorang pastor yang didakwa menyebarkan dakyah Kristian kepada orang ramai, termasuk umat Islam, dan mengutip derma secara haram di sekitar Kluang, Johor.

Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor serta Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil, Sederhana Kecil dan Sederhana Malaysia turut mendakwa tindakan pastor berkenaan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Islam.

Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor, Mohd Fadel Alwi berkata, pastor itu didakwa giat meminta derma daripada orang Islam menggunakan akaun bank peribadinya dan menggunakan ayat bersifat Islamik ketika menyebarkan agama Kristian, sedangkan dia beragama Kristian.

Katanya, satu klip video bertajuk “pastor Kristian disangka Muslim meminta derma” yang dimuat naik ke Facebook Jumaat lalu mendakwa terdapat bukti ramai umat Islam menderma ke akaun bank peribadi pastor itu kerana terpedaya dengan taktiknya.

“Wang yang diterima itu kemudian dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti kebajikan kepada masyarakat di Kluang, termasuk memberi derma, sedekah serta menganjurkan kelas mengaji Iqra kepada orang Islam di Kluang,” katanya dipetik Berita Harian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang hari ini.

Tiada ulasan: