Neelofa dikecam ramai selepas dilihat tidak memakai pelitup muka ketika hadir di mahkamah.
Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor, 32, yang tidak memakai pelitup muka ketika hadir di Kompleks Mahkamah Seremban semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban Mohd Said Ibrahim berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka seperti yang diwajibkan kementerian kesihatan (KKM) kepada orang ramai, termasuk mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh.
“Penjelasan berkenaan perkara ini telah dikeluarkan KKM setelah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam tular gambar kehadiran Neelofa ke kompleks mahkamah berkenaan, yang mengundang pelbagai respons orang ramai apabila rata-rata mendakwa beliau tidak memakai pelitup muka walaupun mengenakan niqab.
Neelofa dan suami Muhammad Haris Mohd Ismail hadir ke mahkamah bagi prosiding pendakwaan atas kesalahan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai pada 2 Mei lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan