Sabtu, 22 Mei 2021

MEF: Majikan swasta lega k'jaan ketatkan SOP, bukan PKP penuh

Malaysiakini

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bersetuju dengan keputusan kerajaan melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dalam sektor ekonomi dan sosial di kawasan yang terjejas teruk oleh COVID-19, dan bukannya mengumumkan sekatan pergerakan secara total di seluruh negara.

Ia berkata majikan sektor swasta merasa lega dengan keputusan itu terutama apabila kerajaan mempertimbangkan dengan teliti pandangan pihak industri walaupun terdapat tekanan daripada pegawai perubatan.

"Peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 mencetuskan kebimbangan serius dan kerajaan telah mengambil keputusan bijak dari segi menentukan keseimbangan antara menyelamatkan nyawa dan kehidupan.

"Keputusan untuk tidak melaksanakan sekatan sepenuhnya membolehkan majikan untuk terus menghidupkan kembali perniagaan mereka dalam tempoh yang sangat getir ini dan seterusnya membuka jalan kepada pemulihan ekonomi sepenuhnya.

"Keselamatan dan kesihatan 'rakyat' harus diutamakan," kata presiden Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dalam satu kenyataan hari ini.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa COVID-19 akan tetap berada dalam komuniti kita untuk sementara dan kita perlu belajar bagaimana menghadapinya dengan berkesan, seperti menggalakkan program imunisasi, melaksanakan SOP yang lebih ketat dan mengehadkan pergerakan," tambah beliau.

MEF turut menasihati semua majikan dan pekerja bahawa langkah itu mungkin bukan yang terbaik untuk mengawal penularan COVID-19 tetapi kerajaan tidak mempunyai pilihan berdasarkan kesan kewangan daripada sekatan secara menyeluruh.

“Rakyat Malaysia harus menyedari beban untuk membendung penularan adalah pada kita dan bukan kerajaan. Jadi, kita mesti berdisiplin dan mengubah tingkah laku, sikap dan amalan kita dengan mengikuti SOP,” tambah beliau.- Bernama

Tiada ulasan: