Sabtu, 15 Mei 2021

Malaysia perlu gerak PBB, OIC tekan pengganas Israel

Athirah Huda Zalhe

Perjuangan Palestin bebaskan Baitulmaqdis sah ikut undang-undang antarabangsa

BANGI – Malaysia perlu menggerakkan semua kesatuan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memberi tekanan ke atas pengganas Israel.

Pada masa sama, kerajaan juga perlu bersatu dengan negara-negara Islam lain dalam  membela nasib rakyat Palestin dan menjaga kesucian Masjid Al-Aqsa daripada terus dicemari oleh kebobrokan serta kekejaman Zionis.

Atas sebab itu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa, Kementerian Luar untuk terus membantu rakyat Palestin dalam memberikan tekanan kepada rejim Israel untuk menghentikan pembunuhan dan pengeboman ke atas orang awam, yang terdiri daripada wanita serta kanak-kanak.

Timbalan Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata, pihaknya kekal berpendirian bahawa perjuangan rakyat Palestin ke arah membebaskan Baitulmaqdis dan keseluruhan negara sebagai sah mengikut undang-undang antarabangsa serta hak mempertahankan diri daripada kekejaman Zionis.

“PPMM juga mengutuk dengan keras segala tindakan oleh rejim Zionis Israel yang jelas merupakan suatu pelanggaran hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

“PPMM turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Luar Negara Malaysia yang terus konsisten di dalam mengutuk dan mengeji tindakan kejam rejim Zionis terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berpendirian tegas bahawa perjuangan rakyat Palestin sebagai suatu tanggungjawab bersama bagi setiap muslim sejagat dalam mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

Bahkan, Muhamad Hisham turut menyifatkan kekejaman berterusan Israel jelas menzahirkan kegagalan idea penyelesaian dua negara kerana Zionis tidak pernah mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

“Palestin perlu kemerdekaan penuh dan ditadbir secara bebas oleh orang Islam sebelum kedatangan Zionis Israel.

“Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga perlu memulakan prosiding keganasan Israel terhadap Palestin,” katanya.

Beliau turut menghargai setiap tindakan rakyat Malaysia yang membantah kekejaman Israel, meskipun sekadar melalui medium media sosial menerusi kempen anti-Zionis atau bantuan kewangan.

“Mudah-mudahan kesemua usaha ini dinilai oleh Allah SWT sebagai ibadah kepadaNYA.

“Kami saf pimpinan dan ahli PPMM berdoa agar kekejaman di Palestin dapat diakhiri dan Islam kembali memerintah Palestin dengan adil dan ihsan,” katanya.

Tiada ulasan: