NOR FARHANA YAACOB
Rakaman video TikTok penjawat awam tular kerana menyokong Israel.
MELAKA - Seorang penjawat awam yang tular dalam rakaman TikTok kerana menyokong Israel didapati positif dadah morfin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 31 tahun itu telah dipanggil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk direkodkan keterangan selepas menerima laporan berhubung rakaman video yang dimuatnaik suspek di aplikasi terbabit yang menyatakan sokongan terhadap Israel sekali gus menimbulkan reaksi negatif masyarakat.
"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia positif dadah.
"Suspek ditahan untuk siasatan berasingan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan reman selama dua hari bermula Rabu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang dipercayai digunakan ketika memuat naik video tersebut di aplikasi TikTok.
"Siasatan awal yang dijalankan suspek disyaki memuatnaik video itu ketika berada di bawah pengaruh dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988," katanya.
Baru-baru ini tular rakaman Tiktok berdurasi 59 saat oleh individu itu menggunakan nama @Pahlawan90 yang menyatakan sokongan kepada Israel sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan