Selasa, 11 Mei 2021

Lelaki berbasikal dalam video tular didakwa buat aksi lucah

Tangkap layar video berdurasi 4 minit memaparkan perbuatan keji suspek sehingga menimbulkan kemarahan ramai di media sosial.

BARU-baru ini tular satu video memualkan bagaimana seorang lelaki yang sedang berbasikal melakukan aksi lucah terhadap seorang wanita yang berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan.

Video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi empat minit itu akhirnya memaparkan wanita berkenaan terpaksa berlari untuk menyelamatkan diri.

Kejadian di sekitar sebuah taman perumahan dekat Kota Bharu itu menimbulkan kemarahan dan keresahan ramai mengenai keselamatan wanita daripada perbuatan keji suspek.

Hari ini, lelaki dalam video itu akhirnya didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas perbuatannya itu.

Dia yang merupakan warga Thailand mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohamad Ghulam.

Abdulloh Wae-Samaae, 30, yang bisu membuat pengakuan itu dengan hanya mengangguk.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah membuat isyarat mengaibkan kehormatan terhadap seorang wanita berusia 23 tahun yang kelakuan itu telah mengganggu kesantunan mangsa di tepi jalan Lorong Limau Manis 1, Kampung Limau Manis, pada 9.25 pagi, 27 April lepas.

Baca artikel berkaitan: Mencarut sangat.. dua remaja didakwa di mahkamah

Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh pendatang tanpa izin dan menetapkan 30 Mei ini untuk fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Siti Aisyah Abdul Manah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suspek ditahan Ahad lalu selepas ahli keluarganya dilaporkan membawa lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Polis kemudian mendapatkan perintah reman ke atas lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Media sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita pada 27 April lalu.

 

Tiada ulasan: