Oleh KOSMO!
KUALA LUMPUR – Ramai menjerit meminta tolong dan meraung kesakitan.
Itu suasana genting yang dialami 213 penumpang selepas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bertembung sesama sendiri di laluan terowong bawah tanah antara Stesen KLCC dan Stesen Kampung Baru, kira-kira pukul 8.45 malam kelmarin.
Seorang mangsa, Rizaril Haikal, 21, berkata, paling menyedihkan apabila dia menyaksikan sendiri detik-detik penumpang terpelanting sehingga ada yang berlumuran darah.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia menaiki tren di Stesen KLCC untuk ke stesen MRT bagi menukar laluan balik ke Damansara Damai.
“Saya tidak pasti apa yang berlaku sama ada pelanggaran atau perkara lain. Namun, hanya beberapa saat selepas tren bergerak, kami terdengar jeritan kuat dari penumpang di gerabak hadapan manakala lampu di gerabak lain tiba-tiba terpadam.
“Insiden itu turut menyebabkan saya terpelanting beberapa meter hingga merempuh penumpang lain.
“Dalam kesakitan dan ketakutan, saya nampak kesan darah penumpang lain telah memenuhi lantai tren.
“Ramai yang menangis meminta tolong, nampak suasana dalam gerabak kelam-kabut dan semua panik ketika itu,” ujarnya yang berada di gerabak kedua terakhir ketika kejadian berlaku.
Jelas Rizaril, sebelum kejadian, dia berdiri berdekatan pintu gerabak dan tidak sempat berpaut pada mana-mana tiang untuk menyelamatkan diri.
“Kejadian itu menyebabkan dahi saya koyak dan terpaksa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur,” ujarnya yang bekerja sebagai promoter jualan.
Seorang lagi mangsa, Afiq Luqman Mohd. Baharudin, 27, berkata, sebelum kejadian berlaku, tren berhenti sangat lama di stesen LRT KLCC hampir 15 minit.
“Saya rasa pelik dan tidak sedap hati kerana biasanya tren tidak akan berhenti lama. Sebaik pintu tren tertutup, beberapa saat kemudian, saya terdengar dentuman kuat daripada gerabak paling hadapan.
“Pada mulanya saya ingat tren membrek secara mengejut, rupanya tren bertembung dengan tren lain,” ujar pekerja swasta itu.
Jelasnya, insiden itu menyebabkan ramai penumpang yang berdiri dan duduk tercampak serta terpelanting.
“Saya sendiri terperosok ke kerusi bersebelahan menyebabkan mata kiri saya terhantuk,” jelasnya. -K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan