Jumaat, 14 Mei 2021

Ketua Editor, Editor Meja Mandarin RTM diberi surat tunjuk sebab

 Oleh SYED MOHD HAZIQUE SYED NOR

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ketua Editor Berita Mandarin dan Editor Meja Mandarin Radio Televisyen Malaysia (RTM) diberikan surat tunjuk sebab selepas satu laporan berita merujuk kumpulan pro-Palestin, Hamas sebagai ‘radikal’.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan perkara tersebut setelah mereka selesai memberi penjelasan dan laporan lengkap berhubung isu itu.

Katanya, siasatan akan dijalankan selepas laporan berita berbahasa Mandarin oleh TV2 RTM itu tular di media sosial.

“Pada 12 Mei lalu, satu laporan berita berkaitan penggunaan istilah ‘radikal’ merujuk kepada Hamas dalam serangan udara Israel terhadap Palestin tular di media sosial.

“Susulan daripada itu, saya telah mengarahkan siasatan dijalankan bagi tindakan lanjut diambil oleh pihak pengurusan Jabatan Penyiaran Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun RTM telah melakukan pemohonan maaf secara terbuka dalam siaran berita pada hari yang sama.

“Permohonan maaf secara terbuka dalam siaran berita untuk pembetulan telah disiarkan dalam Berita Tengah Hari pada pukul 1.00 tengah hari dan Berita Mandarin pada pukul 7 malam, pada hari yang sama,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Seksyen Berita dan Hal Ehwal Semasa diminta mengkaji prosedur operasi standard (SOP) tugasan bilik berita agar tidak lagi berlaku kesilapan seperti ini pada masa hadapan.

Terdahulu, tular satu laporan siaran berita yang menggunakan perkataan mandarin berbunyi Jījìn zǔzhī (激进组织), bermaksud pertubuhan radikal. – K! ONLINE

Tiada ulasan: