KUALA LUMPUR: Penularan pandemik COVID-19 di seluruh negara, berisiko bertambah buruk apabila hampir semua negeri dan kawasan Wilayah Persekutuan, mencatatkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) melebihi purata kebangsaan, semalam.
Data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menunjukkan Rt peringkat kebangsaan berdasarkan kes harian adalah 1.07 semalam.
Bagaimanapun, 12 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, mencatatkan bacaan Rt di antara 1.08 hingga 1.35.
Nilai Rt tertinggi dicatatkan Terengganu dengan 1.35, disusuli Kedah (1.28), Melaka (1.24), Perak (1.19), Negeri Sembilan (1.17), Johor (1.16), Pahang (1.16), Selangor (1.12), Pulau Pinang (1.12), Putrajaya (1.11) Kuala Lumpur (1.09) dan Kelantan (1.08).
Sarawak pula mencatatkan Rt 1.0, manakala Sabah dan Labuan merekodkan Rt terendah semalam, masing-masing mencatat 0.94 dan 0.98.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.
Selain itu, data dikongsi Dr Noor Hisham menunjukkan trend kes harian ketika ini kekal berada pada situasi membimbangkan, selaras jumlah kes harian yang masih melebihi 3,000 setakat semalam.
Meskipun jumlah kes dilihat mula menurun sejak empat hari lalu, trend penularan COVID-19 ketika ini masih melebihi jangkaan Kementerian Kesihatan (KKM).
KKM mengunjurkan kes harian berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang awal bulan depan jika Rt kebangsaan meningkat kepada 1.2.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan