Selasa, 4 Mei 2021

Jambatan ‘Compact Bailey’ bagaikan anugerah Aidil Fitri

HARAKAH DAILY
 

JERANTUT: Pembinaan jambatan ‘Compact Bailey’ menggantikan jambatan lama yang telah rosak diterima bagaikan anugerah Aidil Fitri buat kira-kira 1,000 penduduk di tiga perkampungan, di sini.

Pembinaan semula itu membolehkan para penduduk Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap menyeberangi Sungai Beletir untuk keluar ke Bandar Jerantut dan pelajar yang bersekolah di FELDA Padang Piol.

ADUN Tahan, Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Baddrdin sempat turun melihat fasa akhir pembinaan tersebut yang dijayakan oleh kekuatan dan kepakaran daripada anggota-anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja itu, kelmarin.

Gabungan padu anggota Angkatan Tentera Malaysia daripada Kem Terendak, Melaka dan Kem Batu 3 Mentakab, Temerloh itu, kesulitan dialami oleh para penduduk akhirnya dapat diatasi dalam tempoh masa yang singkat.

“Pasukan diketuai oleh Kolonel Mohd Hanapiah Harun daripada Kem Terendak yang telah bekerja siang dan malam bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk kampung.

“Kerjasama daripada Menteri Kanan Pertahanan yang bersimpati dengan masalah penduduk di sini lalu segera meluluskan pembinaan jambatan ‘Compact Bailey’ menggantikan jambatan sedia ada sejak minggu lalu.

“Pembinaan jambatan ini untuk menggantikan jambatan batang kelapa dan kayu hutan yang dibaiki lantai jambatan itu yang rosak sebelum ini oleh penduduk setempat.

“Bagi pihak penduduk di sini, saya melahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana cakna dengan aduan ini serta mengambil tindakan segera untuk membina jambatan yang lebih kukuh bagi menggantikan struktur binaan daripada batang kelapa dan kayu hutan,” katanya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: