Isnin, 17 Mei 2021

Helah orang ramai guna pusat beli belah sebagai pertemuan Aidilfitri

DR. ADHAM BABA

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melahirkan kebimbangan dengan sikap orang ramai yang menjadikan pusat beli-belah sebagai pertemuan Hari Raya Aidilfitri yang boleh mencetuskan jangkitan Covid-19 sehingga wujudnya kluster baharu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya sedia maklum perkara terbabit dan lokasi yang dijadikan pertemuan Aidilfitri akan tersenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

“Tindakan terbabit dipercayai dilakukan selepas individu terbabit tidak dapat beraya ke rumah keluarga mereka kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Saya mengakui terdapat kelemahan apabila terjadinya perkara terbabit yang kita terlepas pandang dan kementerian bimbang dengan pertemuan pada 13, 14 dan 15 Mei lalu akan memperlihat kes bertambah ataupun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras PICK yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di sini hari ini.

Mengulas mengenai kontena khas sebagai tempat tambahan penyimpanan jenazah berkaitan kes Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, Adham berkata, penyediaannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) pengurusan mayat berkaitan Covid-19.

“Setiap kematian berkaitan Covid-19, prosesnya memerlukan siasatan lengkap, pengambilan sampel, proses menunggu keputusan dan perincian kontak rapat jenazah yang sememangnya mengambil masa.

“Atas faktor itu juga, kementerian memerlukan ruang yang lebih luas bagi membolehkan SOP berkaitan kes kematian akibat Covid-19 dapat dilakukan secara teliti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: