Jumaat, 14 Mei 2021

Enam tahanan depot lolos, tiga ditahan semula

 Oleh IVAN AMIRUL

Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Seramai sembilan tahanan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal melarikan diri pagi tadi dipercayai bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, pegawai Jabatan Imigresen yang sedang membuat kawalan berjaya menahan semula tiga daripada tahanan terbabit di dalam kawasan pagar.

Menurut sumber, semua tahanan berkenaan berusia antara 20 sehingga 40-an dan melarikan diri dengan memanjat tembok blok depoh.

Menurutnya, tahanan kemudiannya melarikan diri ke arah sebuah perkampungan berhampiran.

“Tiga daripada mereka berjaya ditahan dalam kawasan depoh manakala selebihnya masih diburu pihak berkuasa.

“Usaha memburu enam tahanan sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Hazani Ghazali

“Operasi memburu enam lagi suspek sedang dijalankan.

“Setakat ini, belum ada laporan dibuat dan kita minta mereka membuat laporan polis segera,” katanya.

Terdahulu, sekumpulan penghuni Depoh Tahanan Imigresen Manggatal sebelum ini dilaporkan merusuh selepas tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan balik untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, situasi berkenaan berjaya dikawal selepas pasukan Unit Tempur Ringan (LSF), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dikerah dilokasi kejadian. -K! ONLINE

Tiada ulasan: