Khamis, 6 Mei 2021

Dua ditahan sebar berita tidak sahih

Oleh MASZUREEN HADZMAN
HUZIR MOHAMED

KUALA LUMPUR : Dua kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap dua individu selepas mengeluarkan kenyataan dan menyebarkan berita tidak sahih dan boleh menimbulkan kegusaran.

Siasatan pertama dibuat ke atas seorang penama, Muhammad Fahmi Abdullah, yang menyatakan sebuah pesawat MH 191 dari New Delhi, India, membawa masuk penumpang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, hantaran itu dibuat di Facebook selepas kerajaan mengeluarkan arahan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April lalu untuk melaksanakan sekatan sementara penerbangan penumpang keluar dan masuk dari India, bagi mencegah kemasukan varian baharu Covid-19 dari negara itu ke Malaysia.

Kata beliau, selain Muhammad Fahmi, siasatan turut dijalankan terhadap pemilik akaun Facebook, Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi kerana membuat hantaran mengandungi kenyataan jelik serta mengaibkan kerajaan.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Secara keseluruhan, PDRM membuka 12 kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021, yang memperuntukkan kesalahan terhadap sesiapa sahaja yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar sehingga menyebabkan ketakutan atau kebimbangan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di hari ini.

Pada 11 Mac lalu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2021, diwartakan khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan wabak Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

“Undang-undang sekali gus memberi kuasa kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: