Rabu, 12 Mei 2021

Bekalan darah sangat rendah sejak minggu lalu, penderma diperlukan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pusat Darah Negara (PDN) merayu penderma untuk tampil kerana bekalan darah sangat rendah sejak minggu lalu.

"Sudah seminggu merayu dan menunggu, stok darah masih sangat rendah. Bantulah pesakit yang memerlukan," kata keterangan pada poster yang dimuat naik di Facebook, semalam.

Poster itu turut menunjukkan bahawa bekalan darah jenis AB berada pada tahap yang selamat, tetapi ketika ini kekurangan darah jenis A.

Sementara itu, bekalan juga sangat rendah untuk darah jenis B dan jenis O.

PDN menggesa penderma yang layak datang ke pusat derma darah terdekat.

Slip janji temu dapat diperoleh dari laman web PDN untuk memastikan perjalanan yang lancar di tengah sekatan perjalanan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagi mereka yang tidak dapat menderma darah, PDN meminta mereka untuk berkongsi maklumat berkenaan.

Untuk rekod, mereka yang baru-baru ini diberi vaksin diminta menangguhkan pendermaan darah mereka sekurang-kurangnya satu minggu.

Tempoh satu minggu bermula dari saat vaksin diambil jika mereka tidak mempunyai kesan sampingan ringan, atau setelah mereka pulih jika mereka mempunyai kesan sampingan ringan.

Dalam catatan berasingan di Facebook, PDN juga berkongsi kekecewaan kerana kurangnya orang yang tampil menderma darah.

"Sedih. Itulah perasaan yang dapat kami gambarkan ketika ini. Setakat pukul 1.00pm, hanya satu beg darah berjaya diperolehi di lokasi ini.

"Bantulah kami. Hadirlah menderma darah untuk membantu pesakit-pesakit yang memerlukan. Bantu kami. Tampilkan diri untuk menderma darah," katanya.

Senarai pusat derma darah dan lokasi derma darah bergerak di Lembah Klang boleh didapati di sini.

Mereka yang berada di luar Lembah Klang boleh merujuk ke pusat derma darah di negeri masing-masing.

Tiada ulasan: