Jumaat, 7 Mei 2021

Bebas bergerak hanya dalam daerah yang sama

Oleh MASZUREEN HADZMAN
Pasukan petugas di SJR membantu melancarkan pergerakan orang ramai. GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR : Tugasan Polis Diraja Malaysia di sekatan jalan raya (SJR) akan memberi tumpuan kepada persempadanan daerah pentadbiran.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan berlaku sedikit kekeliruan atau kekhilafan oleh petugas di SJR, namun kita menyarankan kepada masyarakat supaya tidak panik dan boleh ajukan sebarang aduan.

“Pada masa ini hampir semua petugas PDRM yang ditempatkan di SJR jelas mengenai peraturan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Saya tak nafikan mungkin berlaku kealpaan kecil oleh segelintir pegawai atau anggota semasa penugasan di SJR, jadi kita akan berusaha untuk membantu semua pihak dalam melancarkan pergerakan mereka,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani memberitahu, berhubung pelaksanaan PKP yang diumumkan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, orang ramai yang berada dalam sesebuah daerah pentadbiran awam boleh bergerak ke mana sahaja lokasi yang dituju sekiranya berada dalam daerah yang sama.

“Hanya mereka yang berkhidmat dalam sektor ekonomi dan perkhidmatan penting sahaja yang dibenarkan untuk bergerak keluar dari sesebuah daerah selain mereka yang mempunyai urusan kecemasan, perubatan dan pendidikan dengan syarat mempunyai surat kebenaran atau surat pelepasan dari agensi yang berkaitan.

“Sebagai contoh jika seseorang itu tinggal di daerah Petaling, daerah ini meliputi sebahagian kawasan di Sungai Buloh, Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Serdang dan mereka bebas untuk bergerak dalam kesemua lokasi berkenaan namun menjadi kesalahan sekiranya mereka memasuki daerah Gombak atau daerah Hulu Langat,”jelasnya.

Tambah Acryl Sani, mereka yang tidak mempunyai kebenaran juga turut dilarang untuk memasuki Kuala Lumpur dan begitu juga sebaliknya bagi mereka yang tinggal di ibu negara.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata, SOP penjarakan fizikal masih menjadi antara kesalahan tertinggi yang dikesan semasa pemeriksaan oleh Pasukan Task Force Pematuhan PDRM.

“Kita tidak menghadapi masalah dalam memastikan orang ramai sentiasa memakai pelitup muka serta mendaftarkan diri dalam aplikasi MySejahtera atau mendaftarkan diri dalam buku disediakan namun masyarakat masih mengabaikan SOP penjarakan fizikal.

“Oleh itu saya berharap supaya masyarakat sentiasa peka dengan SOP penjarakan fizikal ini dalam bersama-sama mematahkan penularan Covid-19,”katanya.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: