Isnin, 3 Mei 2021

Bazar Aidilfitri sesak, penganjur dikompaun RM20,000

KPD SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor melakukan pemantauan di Karnival Mahabbah Kepala Batas Dan Bazar Aidilfitri Kubang Menerong Tasek Gelugor bagi memastikan para pengunjung mematuhi SOP PKPB ditetapkan./ Gambar FB IPD SPU

BAZAR Aidilfitri seperti mana pasar Ramadan, sudah menjadi ‘kewajipan’ buat umat Islam di Malaysia.

Namun dalam tempoh penularan COVID-19 ini, kebenaran yang diberikan perlu berdasarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Cuma, ada ketikanya tular gambar kesesakan pengunjung di beberapa bazar di seluruh negara yang menimbulkan kekhuatiran ramai terhadap sikap penganjur.

Misalnya malam tadi, penganjur bazar Aidilfitri di Kubang Menerong, di Seberang Perai Utara dikenakan kompaun RM20,000.

Ini selepas pihak penganjur gagal mengawal kemasukan pengunjung hingga menyebabkan kesesakan dan tiada penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata. beberapa teguran telah diberikan sebelum ini dalam beberapa pemeriksaan yang lalu namun malangnya keadaan masih sama.

Menurut beliau, bazar itu sepatutnya hanya boleh dikunjungi sekitar 400 orang dalam satu-satu masa tetapi pemeriksaan mendapati ia melebihi angka ditetapkan.

“Walaupun terdapat tiga jalan keluar dan masuk tetapi masih juga berlaku pertembungan antara pengunjung sehingga berlaku kesukaran mengawal penjarakan fizikal.

“Oleh itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan notis amaran supaya penganjur mengambil langkah sewajarnya, manakala polis pula mengeluarkan kompaun ke atas penganjur,” katanya.

Noorzainy berkata demikian ketika mengadakan operasi bersepadu pemantauan pematuhan SOP bazar Aidilfitri malam tadi.

Jelasnya, walaupun penganjur mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lain seperti menyediakan laluan keluar masuk dan pendaftaran MySejahtera, namun dari aspek penjarakan fizikal mereka gagal maka menyebabkan tindakan tegas diambil.

“Tindakan ini diambil berikutan peningkatan kes COVID-19 dan menimbulkan kebimbangan jika aspek penjarakan fizikal tidak diambil peduli,” katanya.

Sebelum itu, Noorzainy bersama kakitangan MBSP dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut meninjau sebuah bazar Aidilfitri di Kepala Batas yang pemeriksaan mendapati penganjur sudah memperbaiki SOP selepas diberikan notis amaran minggu lalu.

Daerah Seberang Perai Utara semalam mencatatkan pertambahan 21 kes baharu menjadi jumlah kumulatif sebanyak 1,775 kes termasuk empat kematian.

Tiada ulasan: