Selasa, 18 Mei 2021

ATM perlu lagi kakitangan untuk buka dua hospital medan

 Oleh NUR HUDA MUSA

Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sekurang-kurang 30 orang doktor dan 100 orang paramedik bagi menambah pembukaan hospital medan di negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ATM mampu mewujudkan dua lagi hospital medan sekiranya kekurangan doktor dan paramedik dapat dipenuhi.

“Kita akan minta kerajaan untuk memenuhi keperluan itu. Pihak kami juga bersedia untuk mengambil kakitangan secara kontrak tetapi dalam kadar segera.

“Selain itu, yang terbaharu ialah hospital medan di Pulau Pinang bagi pesakit unit rawatan rapi (ICU) di mana maksimum katil ialah sehingga 24 katil dan kita telah sediakan 18 katil setakat ini. Penambahan katil selebihnya akan dibuat bermula esok,” katanya ketika sidang akhbar sesi Taklimat Kesiagaan Perkhidmatan Kesihatan ATM di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini hari ini.

Terdahulu, sebanyak empat buah hospital medan telah dibuka iaitu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang; Tawau, Sabah; Pokok Sena, Kedah dan Kapit, Sarawak dan terbaharu ialah hospital medan untuk pesakit ICU di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Malaysia bersedia sekiranya diminta untuk menghantar tentera bagi misi pengaman di bawah program bangsa bersatu.

Katanya, Malaysia tidak boleh secara persendirian membuat keputusan menghantar tentera ke luar negara kerana ia melibatkan undang-undang antarabangsa.

“Kita memang ada hantar misi pengaman di bawah panji-panji bangsa bersatu. Sebagai contoh di Lubnan, kita tidak boleh secara persendirian menghantar tentera kita ke luar negara kerana melibatkan undang-undang antarabangsa.

“Jadi kalau bangsa bersatu meminta negara-negara seperti Malaysia untuk menghantar tentera sebagai pengaman di bawah program itu, Inshaallah,” jelasnya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: