Sabtu, 1 Mei 2021

Aktiviti Ramadan, solat Aidilfitri dalam Zon Merah, Kedah hanya di rumah

ALOR SETAR: Semua aktiviti khas sempena Ramadan di masjid dan surau sekitar zon merah dalam lima daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri, tidak dibenarkan bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Mohd Yusri Md Daud, berkata aktiviti itu membabitkan majlis berbuka puasa, moreh, sahur, solat tarawih, tadarus al-Quran dan qiamullail serta program keagamaan.

Katanya, ia termasuk aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan di masjid dan surau seperti jamuan, kenduri, gotong royong dan sebagainya juga tidak dibenarkan.

"Bagi solat Jumaat di zon merah, hanya 50 jemaah dibenarkan tidak termasuk pegawai dan ahli jawatan kuasa masjid.

"Manakala bagi solat fardu di masjid dan surau di zon merah hanya dibenarkan kepada pegawai dan ahli jawatan kuasa masjid serta anak kariah tidak melebihi 20 jemaah manakala jemaah solat fardu dan Jumaat di zon jingga adalah separuh daripada keluasan masjid," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, aktiviti khas bulan Ramadan bagi zon hijau, kuning dan jingga dibenarkan dengan had waktu yang minimum. Masjid dan surau hendaklah ditutup setelah selesai solat Jumaat, fardu dan tarawih.

Katanya, solat tarawih di zon hijau, kuning dan jingga dihadkan masa sehingga jam 10.30 malam sahaja, manakala program berbuka puasa, moreh, sahur bagi zon ini boleh dilaksanakan dengan kaedah edaran makanan yang telah siap dibungkus dan jamuan di dalam kawasan premis masjid dan surau tidak dibenarkan.

"Program qiamullail di masjid dan surau tidak digalakkan, namun jika dilaksana hendaklah bermula pada jam 4.30 pagi dan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Program Tadarrus al-Quran hendaklah dielakkan.

"Solat sunat Aidilfitri pula hanya dibenarkan di zon hijau, kuning dan jingga sahaja mengikut kaedah ketetapan seperti solat Jumaat dan fardhu iaitu berdasarkan keluasan masjid.

"Manakala solat Aidilfitri bagi zon merah adalah tidak dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan di rumah," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, aktiviti pengurusan jenazah (bukan COVID-19) di masjid adalah dibenarkan di zon hijau, kuning dan jingga, hanya terhad kepada pegawai atau jawatankuasa masjid, ahli keluarga si mati dan ahli kariah sahaja mengikut ruang solat utama masjid dengan penjarakan fizikal.

Katanya solat jenazah bagi zon merah dibenarkan namun tidak melebihi 20 orang dengan penjarakan fizikal terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid, dan ahli keluarga si mati sahaja.

"Pengurusan jenazah di perkuburan seperti pengebumian, talqin dan doa adalah tidak melebihi 20 orang, terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid, petugas dan ahli keluarga si mati sahaja.

"Aktiviti ziarah kubur dibenarkan kecuali zon merah," katanya.

Mohd Yusri berkata, pihak masjid dan surau hendaklah melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk sebelum dan selepas solat, terutama ruang atau tempat yang sering disentuh oleh para jemaah.

Katanya, pihak berkuasa berhak menentukan larangan yang lebih ketat terhadap mana-mana masjid dan surau di kawasan zon merah dari semasa ke semasa dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

Tiada ulasan: