Selasa, 11 Mei 2021

Agong ulangi gesaan semua pihak berganding bahu ketika Covid-19 terus mengganas

Staff Writers  MALAYSIA NOW

Kenyataan Agong itu dikeluarkan sehari selepas kerajaan mengisytiharkan PKP di seluruh negara.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mengulangi gesaan agar semua ahli-ahli politik agar bersatu dalam membantu kerajaan dalam memerangi pandemik, ketika angka jangkitan harian Covid-19 terus menerus tinggi sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Seri Paduka Baginda juga menyeru semua pihak mengenepikan perbezaan dan kepentingan diri masing-masing untuk bersama berganding bahu membantu kerajaan serta para petugas barisan hadapan menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan usaha-usaha memerangi wabak ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini.

Dalam kenyataan itu, Agong menzahirkan kebimbangan dengan situasi terkini wabak wabak Covid-19 yang masih tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan mendadak sejak kes positif harian dicatatkan mencecah 4000 kes sejak minggu lalu.

“Agong menzahirkan harapan agar kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat melipatgandakan lagi usaha yang sedang dan akan dilakukan untuk melandaikan kes positif harian wabak ini yang memberikan kesan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang.”

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP 3.0 dilaksanakan di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun bagi mengekang wabak Covid-19, beberapa hari sebelum umat Islam di Malaysia menyambut perayaan Aidilfitri.

Antara yang tidak dibenarkan sepanjang PKP kali ini ialah aktiviti merentas daerah dan negeri.

Muhyiddin berkata, kerajaan memutuskan mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.

Sultan Abdullah turut menyeru kerajaan agar menangani kesusahan rakyat di peringkat akar umbi yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

“Agong menasihati rakyat untuk berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan mendesak.

Tiada ulasan: