Selasa, 4 Mei 2021

15 kedai di Pantai Morib musnah dijilat api

Sinar Harian
15 kedai di Pantai Morib musnah dijilat api
Deretan 15 buah kedai di Pantai Morib, Selangor terbakar dalam kejadian pada Isnin. -Foto Sinar Harian
 
BANTING: Deretan kedai di Pantai Morib di sini terbakar disyaki akibat litar pintas dalam kejadian pada Isnin.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian terbabit selepas menerima panggilan daripada Mers 999 pada jam 2.14 petang.
 
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan BBP Telok Panglima Garang termasuk dua buah kereta peronda MPV polis dikejarkan ke lokasi.
 
"Kebakaran itu melibatkan 15 buah kedai dan semasa kejadian hanya dua buah sahaja yang sedang beroperasi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
 
Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh dua jam dan keseluruhan kerosakan melibatkan 60 peratus deretan kedai yang meliputi bumbung, barangan elektrik seperti peti ais, mesin tebu, peralatan dapur dan lain-lain.
 
"Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian ini.
 
"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tidak menolak kemungkinan berpunca daripada litar pintas," katanya

Tiada ulasan: