PASIR SALAK: Rumah Datuk Maharajalela dalam kawasan Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini yang daif didapati terbiar walaupun sebelum ini kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk kerja baik pulih.
Waris kepada Datuk Maharajalela, Tengku Mustaffa Tengku Mohd. Yunus, 61, kecewa dan bimbang warisan sejarah tokoh pejuang negara itu terus terbiar.
Tengku Mustaffa yang merupakan Orang Besar 32 Perak berkata, kerana tidak dibaik pulih, kawasan persekitaran rumah berkenaan dipenuhi semak dan lalang selain semakin banyak struktur pada bangunan rumah berkenaan yang dikhuatiri semakin rosak akibat lama terbiar.
“Sepatutnya kerja baik pulih sudah boleh dilaksanakan kerana peruntukan telah diluluskan namun sehingga hari ini keadaan rumah ini tidak berubah, masih daif dan kawasan sekitarnya semak samun pun sudah naik tinggi.
“Struktur bangunan rumah ini juga sudah banyak yang semakin rosak, jika dibiarkan ia mungkin kerosakannya semakin teruk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sehubungan itu beliau berharap kerja baik pulih dapat dilaksanakan secepat mungkin dan mengembalikan ‘seri’ di kawasan berkenaan yang sebelum ini menjadi tumpuan pelancong.
“Kalau peruntukan sudah diluluskan, laksanakan segera kerja baik pulih, serikan semula kawasan ini sebab sekarang ini keadaannya suram, menyedihkan. Sepatutnya warisan sejarah ini dipelihara,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai rumah tokoh pejuang negara, Datuk Maharaja Lela yang sudah terbiar lebih 10 tahun tanpa diselenggara dengan baik.
Berikutan itu, kerajaan Perak meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membaik pulih rumah berkenaan melalui Lembaga Muzium Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan
negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi yang mengumumkan peruntukan
itu berkata, kerja-kerja pemuliharaan dilaksanakan pada Januari
bagaimanapun kerjakerja dilipidasi akan dijalankan terlebih dahulu pada
hujung November lalu bagi mengenal pasti tahap kerosakan dan seterusnya
menjalankan kerja pembaikan. UTUSAN
No comments:
Post a Comment