Tuesday, February 16, 2021

Vaksin: Hospital swasta tunggu 'lampu hijau' kerajaan

KUALA LUMPUR: Mekanisme pengurusan suntikan vaksin COVID-19 di hospital swasta akan ditentukan menerusi perbincangan dengan kerajaan dalam tempoh terdekat.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk menjayakan program imunisasi kebangsaan COVID-19 yang dijadual dilaksanakan pada 26 Februari ini.

Berbekalkan kemudahan dan kecekapan pengurusan, katanya, hospital swasta mempunyai keupayaan untuk menawarkan khidmat suntikan pelalian itu kepada masyarakat.

"APHM sedang menunggu untuk berbincang mengenai mekanisme vaksinsasi kerana sudah tentu ramai yang teruja untuk mendapatkan suntikan berkenaan di hospital swasta.

"Perkhidmatan sedemikian berupaya ditawarkan, tetapi kita sedang menanti arahan selanjutnya daripada kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Sabtu lalu dilaporkan berkata kira-kira 126,000 rakyat negara ini dijangka disuntik vaksin COVID-19 sehari, menerusi pelan imunisasi kebangsaan COVID-19, bermula 26 Februari ini.

Susulan itu, seramai tujuh petugas yang bakal mengendalikan suntikan pelalian akan disediakan di setiap 600 lokasi vaksinasi pada suatu lokaliti atau kawasan seluruh negara.

Dr Kuljit turut menyatakan kesediaan untuk berganding bahu dengan kerajaan bagi memastikan setiap petugas barisan hadapan, khususnya di sektor perkhidmatan kesihatan yang dijadual menjadi kumpulan penerima pertama vaksin mendapat suntikan pelalian itu.

"Kami menggesa setiap masyarakat yang sesuai untuk menerima vaksin supaya mendapatkan suntikan masing-masing kerana kandungan pelalian ini selamat.

"Malah, potensi masalah jangka panjang COVID-19 terhadap aspek kesihatan apabila mana-mana individu dijangkiti wabak ini ialah lebih teruk, berbanding kesan sampingan daripada vaksin," katanya.

No comments: