Tuesday, February 23, 2021

Usaha Kelantan bantu tangani belia menagih dadah dipuji

HARAKAH DAILY

KOTA BHARU: Peranan kerajaan negeri dipuji khususnya dalam usaha membantu menangani masalah gejala sosial yang berpunca dari aktiviti penagihan dadah dalam kalangan belia.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, jawatankuasa bersepadu menangani gejala sosial dan maksiat ditubuhkan.

Katanya, walaupun Kelantan menjuarai carta bilangan penagih yang tinggi, namun kerajaan negeri tidak pernah jemu membantu memerangi penyalahgunaan dadah.

“Kerajaan negeri berusaha mengatasi masalah sosial yang semuanya ada kaitan dengan dadah, contoh mencuri sebab hendak beli dadah.

“Kerajaan negeri juga ada inisiatif membantu AADK dalam menangani masalah penagihan dadah. Kerajaan tidak pernah lepas tangan menangani isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat AADK di Menara Perbadanan, Jalan Tengku Petra Semerak, baru-baru ini.

Rohayu juga berkata, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac 2020 sehingga sekarang masih berlaku peningkatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.

Menurutnya juga biarpun AADK tidak dapat mengadakan program secara semuka ekoran penutupan sekolah, namun operasi dalam skala kecil tetap diadakan.

“Kita menjalankan program khusus kepada pelajar sekolah dalam aplikasi Zoom secara kelompok kecil pada peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun), manakala ujian air kecing tidak dibuat sekarang.

“Kita dapati masih ada kegiatan dadah dalam kalangan pelajar, apabila kita tanya semasa operasi, masih ada pelajar yang ambil dadah, tetapi tidak tahu tahap keseriusan itu,” katanya.

Beliau juga berkata, AADK Kelantan turut melaksanakan projek perintis inisiatif bersepadu menangani masalah dadah dan pelencongan sosial di lima jajahan negeri itu.

Menurutnya projek tersebut diteruskan sehingga 2021 yang meliputi Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Mas dan Machang yang mengandungi 15 kawasan berisiko tinggi.

Pemilihan kawasan berkenaan dilakukan dengan mengambil kira jumlah Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah Akta Penagihan Dadah selama dua tahun di bawah AADK tinggi. HARAKAHDAILY

No comments: