KUALA LUMPUR: Kalangan ahli agama menjelaskan rakyat perlu mentaati arahan pemerintah termasuk dalam urusan vaksinasi umum bagi mengekang penyakit COVID-19 kerana ia demi kebaikan umum susulan penularan jangkitan semakin membimbangkan.
Walaupun bagi mereka keharusan penggunaan vaksin bukan bersifat mutlak berdasarkan syarat-syarat tertentu, tidak salah jika mentaati arahan pemerintah kerana ia perkara yang dituntut oleh syarak.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, langkah kerajaan untuk mendapatkan bekalan vaksin bagi rakyat adalah satu usaha yang sangat murni dalam situasi sekarang yang semakin membimbangkan.
"Sekiranya arahan pemerintah itu adalah suatu kemakrufan, kebaikan serta mendatangkan maslahah kepada rakyat, sama ada arahan itu disukai oleh kita atau tidak, selagi bukan bukan maksiat, maka wajib dipatuhi. Ini bertepatan kaedah fiqh yang masyhur iaitu urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah," katanya.
Selain ayat al-Quran, Rasulullah SAW juga akan bersabda bahawa: "Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu adalah suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat".
Timbalan Presiden Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob, berkata walaupun ulama sepakat penggunaan vaksin COVID-19 sebagai harus, dalam keadaan lain vaksin wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan keperluan semasa sebagai barisan hadapan melawan penularan COVID-19.
"Ini satu ketetapan berdasarkan alasan syarak jika tiada vaksin alternatif yang suci tetapi keadaan semasa bersifat darurat seperti mana berlaku sekarang demi menyelamatkan nyawa atau hifz al-nafs.
"Sesuatu vaksin tidak mudah untuk dihukumkan harus sekiranya tiada justifikasi yang kukuh," katanya yang turut terbabit secara langsung dalam pembangunan dan kajian klinikal fasa tiga vaksin COVID-19 bersama Kementerian Kesihatan (KKM).
Mengulas mengenai hasutan golongan anti-vaksin yang bertopengkan agama, Dr Azizi menegaskan tuduhan mereka perlu dipatahkan dengan menggabungkan ilmu Islam dengan sains perubatan serta penjelasan lanjut perlu terus diberikan kepada semua pihak berkepentingan.
Menceritakan pengalamannya yang terbabit secara langsung dengan pembangunan vaksin di tahap pra-klinikal dan kajian klinikal fasa 1 sejak 2007 bersama pasukan pakar vaksin dari Taiwan dan Amerika Syarikat (AS), ia meyakinkan beliau bahawa ilmu vaksin adalah suatu ilmu sains perubatan hasil daripada penemuan saintis lebih 300 tahun lalu serta bertepatan dengan Islam.
"Teknik inokulasi yang sering dikaitkan dengan pencipta terawal vaksin oleh Edward Jenner 1796 iaitu seorang pakar bedah England. Sebaliknya didapati konsep vaksin ini telah lebih awal dibangunkan dalam dunia Islam Turki pada 1724 di mana pada waktu itu kanak-kanak di Turki telah divaksinkan dengan 'cowpox' untuk menghalang penyakit 'smallpox'.
"Ilmu vaksin itu dibawa ke Eropah oleh isteri kepada duta Inggeris pada waktu itu. Justeru, kebencian kepada vaksin ini oleh pihak tertentu yang memusuhi atau juga dikenali sebagai golongan anti-vaksin tidak boleh dibiarkan kerana mereka akan membunuh ilmu sains yang telah terbukti memberi manfaat kepada alam sejagat sejak ratusan tahun," katanya.
No comments:
Post a Comment