Monday, February 15, 2021

Sokong petugas media jadi golongan awal terima vaksin Covid-19

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR
ARFI AHMAD

SEREMBAN: Cadangan supaya petugas media diiktiraf sebagai barisan hadapan dan menjadi antara golongan terawal menerima vaksin Covid-19 disambut baik.

Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan (Manis), Arfi Ahmad berkata, keperluan bekerja di lapangan turut mendedahkan petugas media seperti wartawan, jurugambar dan juruvideo dengan risiko dijangkiti Covid-19.

“Memang diakui petugas media ini juga turut turun di lapangan bagi membuat liputan seperti di hospital, sekatan jalan raya, kerja-kerja sanitasi serta kawasan berisiko tinggi seperti kawasan perindustrian yang ditutup akibat Covid-19.

“Setelah setahun pandemik ini melanda negara pelbagai liputan media dilakukan khususnya di Negeri Sembilan mengenai Covid-19, namun sehingga kini pengamal media masih lagi tidak di kategori sebagai barisan hadapan katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia susulan pandangan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya bahawa petugas media boleh dikategorikan sebagai barisan hadapan selain diletakkan sebagai golongan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 atas faktor sifat pekerjaan mereka.

Sementara itu, menurut Arfi, pihaknya amat menyambut baik pandangan yang dikemukakan oleh kedua-dua tokoh veteran wartawan tersebut dan amat mengalu-alukan agar pihak berkuasa serta kerajaan mengiktiraf pengamal media sebagai ahli baru dalam petugas barisan hadapan.

“Manis juga turut bersetuju dengan cadangan di mana pengamal media disenaraikan bersama barisan hadapan yang lain sebagai golongan terawal menerima suntikan vaksin ekoran terdedahnya dengan Covid-19 ketika membuat liputan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

No comments: