Tuesday, February 16, 2021

Saniah dapat rumah, tak perlu lagi usung anak OKU cari rezeki – Annuar

MGF15022021__ANNUAR-MUSA-MELAWAT-NURASYIKIN10
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meluangkan masa menziarahi adik Siti Nurasyikin Johari yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) sambil diperhatikan ibunya, Saniah Taib (dua kiri) di Lorong Haji Taib 2, Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – Nasib yang membelenggu Saniah Taib yang terpaksa mencari rezeki sambil mengusung anak perempuannya yang  kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak 11 tahun lalu bakal berakhir.

Malah ekoran pendedahan MalaysiaGazette baru-baru ini, Saniah sekeluarga yang selama ini menyewa bilik di ibu kota akan mendapat rumah yang lebih selesa.

Jaminan itu diberikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sendiri semasa menziarahi Saniah dan keluarganya terutama anaknya yang OKU, Siti Nurasyikin Johar yang berusia 22 tahun di sini hari ini.

Annuar berkata, apa yang penting, Saniah selepas ini tidak perlu lagi mengusung anak perempuannya ke mana-mana dia pergi.

“Saya berpandangan anaknya yang OKU tidak sesuai dibawa, duduk di tepi jalan sambil mereka mencari makan tetapi mereka tidak ada pilihan nak tinggal tidak ada orang jaga, rumah pula macam begini keadaannya.

“Jadi saya datang untuk bincang saya tidak mahu paksa sebab tidak elok.

“Daripada perbincangan tadi dua, tiga tindakan perlu diambil pertama, mereka perlu pindah dan duduk di rumah yang elok. Saya akan cari rumah rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau apa sahaja supaya anaknya yang OKU dapat tinggal dalam persekitaran yang sihat. Jangan bawa ke hulu hilir, pastikan dapat rawatan.

“Mungkin kalau duduk di rumah bandaraya, RM100 hingga RM200 sahaja. RM1,000 lagi boleh diguna untuk perubatan, perbelanjaan dan sebagainya,” katanya selepas melawat Saniah yang tinggal di sebuah bilik di rumah kedai di Lorong Haji Taib petang tadi.

MGF15022021__ANNUAR-MUSA-MELAWAT-NURASYIKIN9-1
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meluangkan 
masa menziarahi adik Siti Nurasyikin Johari yang juga Orang 
Kelainan Upaya (OKU) sambil diperhatikan ibunya, Saniah Taib 
(dua kiri) di Lorong Haji Taib 2, Chow Kit, Kuala Lumpur. 
Foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2021.

Saniah sekeluarga menyewa bilik dengan kadar RM40 sehari selepas dihalau keluar dari rumah sewa mereka di Kampung Baru pada tahun lalu.

Selain itu, Annuar berkata, suami Saniah, Johari dan dua anak lelakinya akan diberi peluang berniaga dengan lesen daripada DBKL.

“Saya juga faham rezekinya di situ (depan Sogo), jadi anak yang berniaga saya akan beri lesen dan tempat, teruslah berniaga cari tempat elok. Yang penting anak yang tidak sihat duduk di rumah.

“Mereka setuju untuk pindah tidak dibawa ke jalanan dan ayah, anak lelaki yang boleh berniaga akan berniaga di suatu tempat.Nak teruskan busking boleh teruskan cuma saya nak anak tidak sihat duduk di rumah,” tambahnya.

Annuar juga berharap, Saniah lima beranak akan dapat berpindah ke rumah baharu pada kadar segera.

“Serta merta, saya harap dalam masa seminggu dua akan dipindahkan, rumah ini pun saya lihat tidak sesuai lima orang duduk sekali,” tambahnya.

Dalam pada itu, Saniah ketika ditemui bersyukur kerana keperitan hidupnya sekeluarga mendapat perhatian seorang menteri.

Beliau juga bersedia untuk berpindah ke rumah baharu dan menjaga anaknya Nurasyikin yang memerlukan perhatian lebih selepas ini.

“Syukur alhamdulillah, terima kasih kerana menolong saya rezeki rumah dapat, berniaga pun dapat lepas ini. Saya bersedia, ini peluang terbaik untuk saya dan keluarga.

“Tan Sri (Annuar) kata tidak perlu saya bawa anak lagi, saya kalau boleh memang tidak boleh tidak sampai hati ,kasihan kepada dia bawa dia tetapi terpaksa juga bawa dia untuk cari makan untuk anak-anak,” katanya.

MalaysiaGazette baru-baru ini, melaporkan kisah penderitaan Saniah yang terpaksa mengusung anaknya yang OKU selama 11 tahun demi sesuap nasi di jalanan.

Laporan itu menyentuh hati ramai pembaca dan ada dalam kalangan mereka menyumbangkan bantuan kepada Saniah dan keluarganya.- MalaysiaGazette

No comments: