Thursday, February 18, 2021

Rosmah Mansor diarah bela diri kes rasuah projek hibrid solar

rosmah solar
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir mendengar keputusan terhadap pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor diarah membela diri atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes ‘prima facie’ bagi kes berkenaan.

“Pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh ke atas ketiga-tiga pertuduhan.

“Dengan ini saya memanggil tertuduh untuk membela diri,” kata Zaini ketika membacakan penghakiman kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

 

Sebelum itu, Rosmah hadir di Mahkamah Tinggi pada pukul 9.15 pagi, manakala Datuk Seri Najib Tun Razak tiba lima minit kemudian.

Rosmah, 69, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Sogokan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana menolong Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Penyelenggaraan Operasi Genset Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan melalui rundingan terus.

BERITA BERKAITAN Kronologi kes tuduhan rasuah Rosmah Mansor

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah kepuasan atau RM10, 000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pasukan pembelaan. – UtusanTV

No comments: