Saranan itu dilakukan agar kejadian seperti rogol dalam lokap yang berlaku di sebuah balai polis di Miri, Sarawak tidak berulang lagi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mencadangkan hukuman lebih berat kepada dikenakan kepada perogol agar kejadian seperti rogol dalam lokap yang berlaku di sebuah balai polis di Miri, Sarawak tidak berulang lagi.
“Saya dengan ini mencadangkan supaya kerajaan persekutuan menerusi peruntukan yang ada padanya meningkatkan lagi hukuman dan seksaan bagi pesalah-pesalah seperti ini, yang bukan sahaja melakukan kesalahan merogol tetapi turut mencemarkan institusi dan adicita pasukan polis sekali gus berperanan sebagai langkah pencegahan supaya masyarakat tidak melakukannya lagi,” katanya,” kata ahli Parlimen Ampang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, “kejadian hitam” yang berlaku kepada remaja yang menjadi mangsa itu tidak seharusnya didiamkan begitu sahaja walaupun beberapa pendakwaan sudah dilakukan di mahkamah terhadap pesalah dan anggota polis yang bertugas ketika kejadian itu berlaku sudah digantung tugas serta-merta.
“Dalam isu ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberi perkembangan terkini apakah lokap Balai Polis Pusat Miri sudah dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh digunakan untuk tujuan merakam dan memantau tahanan, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, memandangkan ini bukanlah kejadian pertama yang tidak diingini berlaku di lokap.
“Sampai bilakah CCTV yang hanya boleh digunakan untuk memantau sahaja akan digunakan di lokap ini dan di lokap-lokap lain,” katanya.
Pada 9 Januari lalu, seorang remaja perempuan mendakwa dirogol ketika berada dalam tahanan lokap oleh seorang tahanan lelaki lain, walaupun tahanan diasingkan berdasarkan jantina.
Mangsa mendakwa suspek memiliki kunci sel lokapnya dan polis mendakwa CCTV di lokap tersebut hanya untuk pemantauan dan tidak boleh membuat rakaman.
Zuraida berkata, transformasi CCTV perlu dilakukan di lokap seluruh negara, bagi memastikan ketelusan dan integriti anggota polis terus disanjung masyarakat.
“Kejadian rogol yang berlaku ini bagi saya adalah kejadian luar biasa, kerana ia berlaku di sebuah balai polis, yang menurut saya sebuah premis dibangunkan untuk tujuan menjunjung dan menegakkan undang-undang negara sepertimana sumpah keramat dan janji setia pasukan polis”.
No comments:
Post a Comment