Thursday, February 18, 2021

Peniaga bergerak jual ikan segar harga murah kepada golongan memerlukan

Golongan B40 di Lembah Klang boleh membeli ikan pada harga murah dengan Kiki Fish Market.

Penduduk sekitar Desa Melawati memilih ikan-ikan segar yang ditawarkan Kiki Fish Market di Klang Gate, Hulu Klang.

Jika dua dekad lalu, ikan kembung dianggap makanan untuk golongan bawahan dan ayam merupakan makanan mewah, keadaan kini sudah berubah.

Apatah lagi ikan segar, adalah sesuatu yang mustahil untuk golongan B40 untuk menikmatinya disebabkan harga mahal terutamanya bagi yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun penduduk Lembah Klang bernasib baik kerana “Kiki Fish Market” menawarkan harga borong dalam penjualan makanan laut segar.

Menurut pengusahanya, Mohd Firdausi Mohd Daud, dia mahu berbakti kepada semua golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Saya membelanjakan sekitar RM10,000 hingga RM15,000 sebagai modal pusingan setiap hari. Keuntungan yang saya dapat hanyalah sekitar 10% hingga 20%,” kata lelaki berusia 33 tahun itu kepada MalaysiaNow apabila ditemui di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Namun saya tidak kisah kerana yang penting bagi saya melihat keceriaan di setiap wajah kakak-kakak dan mak cik-mak cik yang datang beli apabila harga yang saya tawarkan ternyata sangat murah dan berbaloi”.

Firdausi mempunyai empat orang pekerja untuk membantu perniagaannya.

Puyu hidup antara ikan yang dijual oleh pasar bergerak Kiki 
Fish Market.

Selain menawarkan harga murah daripada pasaran, Kiki Fish Market termasuklah menawarkan beberapa hadiah kepada pembeli.

“Sekarang ini saya membuat tawaran setiap pembelian melebihi RM30 akan mendapat seekor ayam percuma selagi stok masih ada.

“Setiap hari saya akan sediakan lebih kurang 300 ekor ayam untuk diberikan kepada pembeli.”

Menurut Firdausi, setiap hari lokasi jualan akan diberitahu kepada orang ramai menerusi media sosial Facebook.

Dengan menggunakan lori, ia memudahkan pergerakan ke mana-mana tempat di sekitar Lembah Klang.

“Apabila kami mulakan jualan, adik saya akan buat siaran langsung bagi memberitahu kepada orang ramai harga runtuh yang kami tawarkan.

“Dan dari situ kami akan memastikan semua hasil jualan kami akan habis pada hari yang sama. Inilah kesegaran yang kami tawarkan.”

Katanya, Kiki Fish Market juga kerap mendapat jemputan daripada persatuan penduduk tertentu untuk datang jual di kawasan perumahan mereka.

“Saya bukan nak berlagak tetapi harga yang kami berikan memang banyak orang terkejut sebab tu ada masa kami dijemput pergi masuk ke tempat-tempat yang orang luar tidak dibenarkan masuk.

“Malah ada juga sesetengah individu yang memberikan sumbangan supaya kami dapat salurkan dengan harga yang lebih murah kepada semua golongan yang terjejas.”

No comments: