PASIR SALAK: Sebuah kubur bersejarah di sini, Makam Puteri Limau Purut menjadi tempat pihak tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan khurafat iaitu amalan pemujaan nombor ekor dan upacara tarik wang.
Perkara itu dikesan oleh waris makam berkenaan, Tengku Mustaffa Tengku Mohd. Yunus, 61, apabila kerap menemukan beberapa peralatan yang dipercayai untuk melakukan amalan pemujaan seperti limau purut di kubur berkenaan yang terletak di Pulau Tiga.
Katanya, setiap kali membersihkan kubur itu, pihaknya sering menemukan beberapa biji limau purut yang dibungkus dengan kain kuning dan colok yang sudah dibakar dan kain dalam tiga warna.
“Saya kecewa dengan perbuatan mereka yang menjadikan makam bersejarah ini sebagai tempat melakukan kerja-kerja khurafat.
“Saya berharap perkara ini dibendung dengan membina pagar di kawasan makam ini untuk menghalang pihak tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya menceroboh kawasan makam ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Tengku Mustaffa yang merupakan waris kelapan kepada Puteri Limau Purut berkata, kawasan makam yang dianggarkan berusia lebih 400 tahun itu perlu dipagar untuk mengelak ancaman lain seperti dimasuki binatang liar.
Menurutnya, kawasan sekitarnya juga perlu dinaik taraf secara keseluruhan untuk memudahkan kedatangan pelancong yang mahu mengetahui kisah sejarah Puteri Limau Purut.
Katanya, jika dibiarkan tanpa penjagaan sewajarnya, warisan sejarah negeri Perak itu dibimbangi mungkin hilang begitu sahaja.
“Antara yang perlu diberikan tumpuan ialah laluan masuk ke makam ini dari jalan besar yang agak sempit, menyebabkan pengunjung tidak selesa untuk ke kawasan makam ini,” katanya.
Menurutnya, Makam Puteri Limau Purut adalah antara makam-makam bersejarah di sini yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancong.
“Di sini juga terdapat makam bersejarah lain seperti Makam Tok Sagor, Makam Datuk Maharajalela, Makam Megat Terawis juga makam-makam sultan Perak terdahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment