Monday, February 1, 2021

GPMS cadang kerajaan tetapkan harga peranti

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
MOHD. TARMIZI A. RAZAK

JOHOR BAHRU: Kerajaan Pusat disarankan untuk menetapkan harga pasaran peranti elektronik pada tahap paling minimu bagi membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan gajet itu bagi tujuan kaedah Pembelajaran dan Pengajaran Di Rumah (PdPR).

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri, Mohd. Tarmizi A. Razak berkata, hal ini kerana terdapat segelintir peniaga yang mula mengambil kesempatan menaikkan harga ketika PdPR dilaksanakan ketika ini.

“Sebagai contoh, sebuah tablet yang berjenama boleh diperoleh dengan harga mampu milik iaitu RM399 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kini sudah meningkat kepada RM599 sebaik sahaja sesi PdPR dijalankan seluruh negara.

“Perkara ini memberi kesan kepada keluarga khususnya yang mempunyai anak yang bersekolah lebih daripada seorang. Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan peluang pelajar untuk mengikuti PdPR dengan sempurna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, ramai ibu bapa yang menyuarakan isu kenaikan harga peranti seperti komputer riba dan tablet bagi memenuhi keperluan PdPR anak-anak mereka di rumah.

Susulan itu, beberapa syarikat telah tampil menjelaskan kenaikan harga disebabkan kekurangan stok dan kenaikan kos logistik dari negara pengeluar sebagai alasan kenaikan harga berlaku.

Mohd. Tarmizi memberitahu, kawalan harga ataupun penetapan harga siling bagi gajet dan peranti elektronik bagi tujuan PdPR amat perlu dilaksanakan bagi memberi peluang ibu bapa untuk mendapatkannya buat anak-anak mereka.

Menurutnya, gajet dan peranti elektronik mampu milik harus diwujudkan yang bersesuaian untuk mengikuti proses pembelajaran mereka.

“GPMS Johor turut mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk mengambil inisiatif memberikan baucar gajet ataupun peranti elektronik antara RM100 hingga RM200 kepada pelajar yang berkelayakan.

“Kawalan harga serta baucar bagi gajet dan peranti elektronik akan mengurangkan beban dan tekanan ibu bapa yang terkesan daripada segi pendapatan keluarga sejak pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

No comments: