Thursday, February 18, 2021

Gagal dapat RM50,000 dari ibu, penyamun sorok bayi dalam tong, sumbat mulut dengan kain

Perompak menuntut RM50,000 sebelum mengambil rantai bernilai RM1,200 dan 
bayi mangsa.

GEORGE TOWN: Seorang bayi berusia tiga bulan disumbat dalam dram dengan mulutnya disumbat kain dan ditampal pita pembalut selama lebih setengah jam oleh perompak yang berpura-pura menjadi penghantar barang.

Dua lelaki itu, seorang daripadanya bersenjatakan pisau, merompak wanita berusia 30 tahun berkenaan di kediamannya di sebuah flat di Batu Lanchang.

Mereka kemudian merampas bayi itu daripadanya dan menyoroknya dalam dram di dalam rumah itu.

Ibu bapa yang menyangka bayi mereka diculik bergegas mencari kanak-kanak itu di sekitar kediaman mereka sebelum akhirnya terdengar bunyi tangisan perlahan dari rumah mereka sendiri.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi di Jalan Van Praagh, Isnin lalu, dua lelaki itu muncul di depan pintu rumah mangsa dengan membawa kotak dan memintanya menurunkan tandatangan. Sebaik wanita itu membuka pintu, seorang daripadanya yang bersenjatakan pisau memberi amaran supaya tidak menjerit atau dia akan dicederakan.

Menurut polis dua lelaki itu kemudian masuk ke rumah mangsa dan menuntut RM50,000. Apabila mangsa berkata tidak mempunyai wang sebanyak itu, mereka melarikan rantainya bernilai RM1,200.

Anak perempuannya berusia tiga tahun ditinggalkan bersamanya manakala bayi lelaki berusia tiga bulan diambil suspek.

Mulut bayi itu disumbat kain sebelum ditampal pita pembalut. Bayi itu kemudian diletakkan dalam dram di dalam salah satu bilik kediaman berkenaan sebelum suspek beredar.

Wanita itu hanya menyedari bayinya hilang 10 minit kemudian.

Mangsa dan suaminya, yang bergegas pulang dari tempat kerja selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, mengambil masa hampir setengah jam untuk mencari bayi mereka itu sebelum terdengar bunyi tangisan perlahan.

Ketua polis daerah timur laut Soffian Santong berkata polis kini memburu suspek dan meneliti rakaman CCTV.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Nurfaiz Fathi Marhom di 04-282 5922 sambungan 228.

No comments: