Friday, February 19, 2021

DidikTV KPM lonjak sektor pendidikan negara

KUALA LUMPUR: Inisiatif saluran khusus TV Pendidikan, DidikTV KPM adalah satu transformasi kemahiran pendigitalan, latihan semula dan peningkatan kemahiran yang melonjakkan sektor pendidikan negara.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata strategi itu akan memastikan rakyat daripada pelbagai peringkat mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi masa depan yang sangat mencabar serta tidak menentu.

Katanya, DidikTV KPM turut menyaksikan warga pendidik mempunyai kemahiran dan kepakaran menyampaikan kandungan pembelajaran secara kreatif.

"MPC menyokong usaha ini dengan menumpu kepada inisiatif pengukuhan daya saing organisasi melalui pembangunan pengetahuan dan kemahiran yang menjadi teras utama kepada pertumbuhan ekonomi.

"Strategi ini mampu merealisasikan agenda transformasi industri dengan menjadikan teknologi dan digitalisasi sebagai pemboleh ubah strategik untuk memacu produktiviti negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saluran DidikTV KPM yang disiarkan di ntv7 dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

Ia adalah sebahagian usaha Kementerian Pendidikan membantu pelajar sekolah dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR).

Abdul Latif berkata, DidikTV juga dapat menyelesaikan isu gajet dan liputan rangkaian internet yang dihadapi ketika pelaksanaan PdPR, selain memberi fokus kepada nilai murni dan pembangunan karakter murid.

"MPC berharap inisiatif yang dilancarkan kerajaan ini dapat dilaksanakan secara cekap, konsisten dan berkesan terutama melalui kerjasama dengan mana-mana agensi dan dalam usaha merealisasikan sasaran matlamat," katanya.

DidikTV KPM boleh diikuti menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

No comments: